Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, tetap menghargai sokongan peminat sukan tanah air.

Selepas tiga penampilan Sukan Olimpik, mereka memberi bayangan bahawa pengembaraan mereka di pentas kompetitif semakin ke penghujungnya.

Liu Ying khususnya bergelut dengan kecederaan selain pernah menjalani beberapa siri kecederaan dan ketika bertemu wakil Jerman semalam, dia turut dilanda masalah lutut.

"Saya susah hati dengan Liu Ying sebab dia sudah tahan lama (menderita).

"Mentalnya sangat kuat dan dapat bertahan sampai sekarang bukan senang.

"Saya tidak mahu memaksanya," kata Peng Soon selepas tumpas kepada pilihan kedua dari China, Wang Yilyu-Huang Dongping, hari ini sekali gus mengakhiri kempen Kumpulan D di Jepun tanpa kemenangan.





Liu Ying yang cuba menahan air matanya daripada tertumpah pula menjelaskan: "Dulu bapa saya sangat suka badminton dan Sukan Olimpik adalah impiannya.

"Sebab itu saya mahu bertahan selagi boleh."

Dalam situasi COVID-19, Peng Soon juga banyak berkorban dengan mengutamakan kariernya berbanding keluarga yang makin membesar.

"Walaupun ini amat terasa tekanan dengan Sukan Olimpik tahun ini, banyak perkara yang tidak dapat mengikut perancangan kami.

"Bukan mudah buat isteri saya untuk menjaga empat orang anak (tanpa saya di sisi). Bukan senang baginya dan saya tahu cuma dia tidak mengadu kepada saya.

"Terima kasih atas pengorbanannya demi impian saya," tambah Peng Soon lagi.