Percaturan drastik Persatuan Badminton Malaysia (BAM) melantik Flandy Limpele selaku jurulatih beregu lelaki ternyata membuahkan hasil membanggakan apabila menjadi arkitek yang merencanakan kejayaan Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk membawa pulang pingat gangsa Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Flandy, yang mempunyai reputasi sebagai pemenang pingat gangsa temasya Olimpik Athens 2004, dibawa masuk Julai tahun lalu bagi menggantikan Paulus Firman -- beralih mengemudi beregu campuran --mencetuskan kontroversi dalam kalangan peminat tanah air.

Ironinya, Fandy merupakan warga Indonesia untuk mengatur strategi terbaik buat Aaron-Wooi Yik, sebelum julung kalinya menumbangkan beregu berpengalaman dari negara jiran, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, sejak 2019.

"Apabila kami membuat daripada segi struktur sebab Aaron-Wooi Yik contohnya hanya berkisar di kedudukan 9-10 dunia.

"Tujuan kami ialah untuk mendapatkan jurulatih yang boleh tewaskan beregu lima teratas.

"Nombor satu dan dua dunia telah dikalahkan oleh mereka (dalam kempen di Jepun). Kami akan terus bawa perubahan demi kebaikan," katanya di Nadi Arena sebentar tadi.





Gangsa yang diraih juga bermakna BAM telah mencapai sekurang-kurangnya satu pingat seperti yang diletakkan sandaran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Syukur sangat-sangat kepada Allah kerana pada hari kesembilan akhirnya dapat pecah kebuntuan pingat.

"Paling utama ialah saya hendak ucapkan tahniah dan terima kasih yang tidak terhingga kepada Aaron-Wooi.

"Mereka bertarung habis-habisan. Membawa perjuangan di atas bahu mereka adalah satu amanah dan cabaran untuk membawa nama negara dan akhirnya mereka telah buktikannya," kata Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.