Beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying mengakui perlu memulihkan aspek mental apabila hampir pasti tersingkir daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Kegugupan terserlah dalam permainan mereka apabila ditewaskan straight set ketika menentang pencabar dari Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich, untuk melakar sejarah pertama dalam pertemuan di antara mereka.

"Mungkin ada sedikit tekanan sebab kekalahan semalam jadi (hari ini faktor) tidak boleh kalah bermain di fikiran.

"Permainan kami macam tergopoh-gopoh," kata Peng Soon kepada Nadi Arena selepas perlawanan.





Selepas gagal menepati ramalan ketika berdepan wakil Hong Kong semalam, nada itu dipersetujui gandingannya, Liu Ying, yang pada satu ketika bergelut dengan kecederaan.

"Mana-mana beregu campuran pun pasti akan serang pemain wanita dulu. Tapi kalau tahap keyakinan sendiri cukup, ia sepatutnya tidak menjadi masalah," katanya.

Finalis temasya lima tahun lalu itu akan turun Wang Yilu-Huang Dongping (China) -- yang menang kedua-dua perlawanan awal -- bagi melengkap kempen Kumpulan D di Plaza Sukan Musashino Forest, esok.

Sambung Peng Soon: "Kami akan bertarung cuma ketika ini kami perlu betulkan mentaliti sendiri agar terus cekal."