Gandingan pelayar wanita negara, Juni Karimah Noor Jamali dan Nuraisyah Jamil,menyifatkan penampilan pertama di pentas Sukan Olimpik Tokyo merupakan satu pengalaman berharga biarpun menamatkan saingan International 470 di kedudukan ke-19 keseluruhan.

Mula digandingkan sejak 2019, pasangan negara itu kini dapat mengenal pasti setiap kekurangan mereka selain boleh memanfaatkan pengalaman di pentas tertinggi itu dalam perjalanan karier mereka.

Juni Karimah dan Nuraisyah sedar betapa sukar untuk menempatkan diri dalam kelompok 10 pasukan terbaik bagi melayakkan diri ke perlumbaan perebutan pingat memandangkan mereka tidak dapat menjalani persiapan yang sepatutnya berikutan pandemik COVID-19 selain masih cetek pengalaman di peringkat antarabangsa.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, Nuraisyah berkata:"Saya memang berpuas hati dengan keputusan saya dalam penampilan pertama ini. Hari demi hari, kami semakin meningkat. Walaupun keputusan tidak memuaskan, kami dapat melihat banyak ruang untuk meningkat."

Juni Karimah menambah: "Kami perlu memperbaiki daripada segi taktikal, terutamanya daripada segi pergerakan kami. Ada beberapa aspek yang kami tidak bagus di Malaysia menjadi lebih bagus di sini dan begitulah sebaliknya. Daripada itu, kami tahu apa yang perlu ditumpukan selepas ini."