Dua pelayar negara, Khairulnizam Mohd Afendy dan Nur Shazrin Abdul Latif, tidak menganggap pencapaian dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 sebagai satu kegagalan memandangkan mereka telah memperbaiki pencapaian yang diraih dalam edisi di Rio lima tahun lalu.

Selepas melewati tempoh dua tahun tanpa kejohanan kompetitif dan pendedahan yang sepatutya, mereka berdepan laluan berliku sebelum gagal menempah tempat dalam perlumbaan perebutan pingat.

Nur Shazrin mencuri tumpuan dalam perlumbaan pertama acara laser radial wanita apabila menduduki tangga ketiga tetapi faktor perubahan cuaca, tiupan angun dan ombak yang tinggi menyaksikan atlet berusia 23 tahun itu terpaksa berpuas hati menamatkan saingan di tempat ke-26 keseluruhan.

Bagaimanapun, ia jauh lebih baik berbanding penampilan pertamanya di Rio, di mana dia menduduki tempat ke-33 keseluruhan.

Nur Shazrin, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulfikly, berkata dia berpuas hati dengan persembahan yang ditampilkannya di Pusat Pelayaran Enoshima biarpun kurang diberikan pendedahan sebelum ke Tokyo.

"Saya sedar saya berada di tahap mana, masih banyak yang perlu diperbaiki seperti cara pengawalan bot.

"Tidak kisah dalam keadaan angin ringan, angin kuat atau ombak besar, saya perlu bijak dalam setiap keadaan.

"Untuk menjadi pelayar yang bagus, kita perlu bagus dalam setiap keadaan, jadi saya perlu lebih banyak berlatih.

"Memang banyak perbezaannya (dalam Sukan Olimpik) kerana jika di Langkawi, boleh kata keadaannya tenang sepanjang tahun, jadi apabila kami berada di luar negara, kami akan bergelut.

"Tetapi disebabkan ada COVID, hendak buat macam mana, ia berada di luar kawalan saya.

"Apa yang penting, saya sudah buat yang terbaik," katanya.

Turut senada adalah pelayar lelaki negara dalam acara laser standard, Khairulnizam, yang menganggap pencapaian menamatkan saingan edisi ini di tangga ke-28 keseluruhan sudah cukup baik berbanding ketika berada tangga ke-35 pada lima tahun lalu.

"Secara realistiknya, dengan persiapan yang kami ada, saya berpuas hati kerana kami sedar dugaan yang kami hadapi, termasuk COVID, yang menyebabkan kami tidak boleh ke luar negara.

"Tahun ini, barulah kami dapat ke luar negara, jadi ia agak lambat berbanding negara-negara Eropah.

"Bagi saya, ia berada di luar kawalan saya tetapi saya cuba memberikan yang terbaik di sini dan Alhamdulillah, dapat menamatkan beberapa perlumbaan dalam kelompok 20 teratas juga sudah cukup baik.

"Ada juga pelayar terbaik dunia berada di belakang saya, jadi ia boleh dikira sebagai satu kejayaan buat saya," katanya.