Harapan untuk menyaksikan gandingan penerjun senior negara, Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee, membutirkan pingat pertama negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 musnah apabila mereka menamatkan final acara 10 meter plaform seirama wanita di tangga tercorot sebentar tadi.

Meskipun cemerlang memulakan dua terjunan pertama, kesilapan besar mereka dalam baki tiga terjunan selepas itu mengundang padah sehingga terpaksa menelan hakikat menamatkan saingan itu di kedudukan terbawah.

Pandelela dan Mun Yee bermula baik apabila menamatkan terjunan pertama di kedudukan kedua dengan 50.40 mata sebelum tergelincir satu kedudukan dalam terjunan kedua selepas merekodkan 49.80 mata.

Bagaimanapun, dengan darjah kesukaran yang lebih tinggi, gandingan negara itu mula mempamerkan aksi goyah dalam terjunan ketiga di mana mereka terperosok ke tangga ketujuh dengan 54.90 mata.

Usaha mereka untuk bangkit dalam dua terjunan berikutnya turut tidak kesampaian dengan percikan air besar ketika melakukan 'entry' menggambarkan mengapa mereka menamatkan saingan akhir itu di tangga terakhir.

Sebagai rekod, Pendelela merupakan pemenang pingat perak acara sama ketika bergandingan dengan Cheong Jun Hoong dalam edisi di Rio pada 2016.