Penyertaan atlet negara dalam Sukan Olimpik akan diteliti secara total, sama ada mereka layak secara merit atau menerusi tiket peluang khas.

Jelas Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria, ia bukan untuk menidakkan kemampuan atlet tetapi sebagai langkah demi memastikan mereka mampu bersaing hebat dengan negara lain dalam apa jua jenis sukan.

Kontinjen negara dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 diwakili 30 atlet daripada 10 jenis sukan.

Tatkala ada dalam kalangan mereka berhasil menyerlahkan kemampuan bersaing di pentas tertinggi itu, ada juga yang masih belum dapat menghadirkan cabaran.

Sebagai contoh, atlet olahraga, gimnastik, renang, dan menembak sekadar bersaing dalam pusingan awal.

Ia mendapat perhatian MOM dan kelayakan bagi tiket peluang khas ke temasya berkenaan akan diberikan lebih perhatian selepas ini.

"Kami akan melihat secara total apa sahaja yang dirasakan memerlukan penambahbaikan," katanya kepada wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

"Kerana daripada segi program atlet, kesemuanya adalah subjek kepada program kerajaan di bawah MSN (Majlis Sukan Negara) dan ISN (Institut Sukan Negara), jadi kami hanya boleh memberikan maklum balas.

"Saya juga berasakan bahawa ada perkara yang perlu dinilai semula atau diperbaiki daripada itu," katanya.

Empat atlet negara yang beraksi di Tokyo atas tiket peluang khas ialah pelari pecut, Azreen Nabila Alias, perenang, Welson Sim dan Phee Jinq En, selain Nur Suryani Taibi daripada sukan menembak.

Untuk rekod, Malaysia menyasarkan tiga pingat, salah satunya kilauan emas, daripada tiga jenis sukan, iaitu badminton, terjun dan berbasikal trek.