Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Gideon menyifatkan aksi sulung mereka dalam Sukan Olimpik sebagai pengalaman unik.

Meskipun sering mendominasi saingan bertaraf terbuka dan memimpin ranking nombor satu dunia sejak Mac 2017, beregu dari Indonesia itu mempunyai reputasi kecundang dalam pemburuan gelaran utama misalnya Kejohanan Dunia.

Dalam temasya Tokyo 2020, mereka juga sudah menempa kekalahan di tangan taruhan Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, di peringkat kumpulan semalam.

Atas dasar itu, Kevin-Marcus berasakan adalah menjadi satu kesilapan untuk menidakkan mana-mana lawan, termasuk Aaron-Wooi Yik yang sudah ditewaskan sebanyak tujuh kali sebelum ini menjelang pertembungan suku akhir, pagi esok.

"Mana-mana yang sudah sampai di tahap pasti merupakan beregu terbaik.

"Kami sudah tidak boleh pilih siapa lawan kami. Kami cuma tumpu persiapkan diri," kata Kevin.







Kali terakhir Indonesia membawa pulang emas ialah menerusi gandingan Markis Kiddo-Hendra Setiawan dalam edisi 2008.

Justeru, Marcus turut enggan mendabik dada dengan status mereka ketika ini dan mahu menghormati setiap lawan mereka.

"Tentu sangat menarik kerana ini adalah Sukan Olimpik pertama kami.

"Kami pasti ingin mendapatkan hasil terbaik tetapi kami tidak mahu fikir terlalu jauh, biar selangkah demi selangkah.

"Kami berharap bisa ada berkat di sini, kami bisa menang dalam setiap pertandingan.

"Kami tidak mahu terlalu jauh dan cuma menikmati permainan," katanya.