Harapan Lee Meng Yean-Chow Mei Kuan untuk mengejutkan beregu wanita nombor satu dunia, Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi, tidak kesampaian berikutan salah faham dengan percaturan jurulatih, Chan Chong Min.

Mereka tewas dalam aksi sengit di Plaza Sukan Musashino Forest itu yang berlanjutan hingga tiga set.

Namun, rekod kekalahan dalam kesemua enam pertemuan kepada juara Seluruh England itu sedikit pun tidak menggugat Meng Yean-Mei Kuan pada awal perlawanan.

Taruhan negara itu mendahului menerusi persembahan meyakinkan pada awal pertarungan pertama untuk menang 21 - 17.

Bagaimanapun, jangkaan untuk Malaysia menamatkan perjuangan Jepun dalam set seterusnya nyata meleset apabila seteru seolah-olah sudah dapat membaca kelemahan permainan mereka.

Aksi tetap berlangsung sengit tetapi beregu Jepun itu tampak lebih meyakinkan.

Selepas terikat 15-15, tidak menunggu lama untuk mengorak kemenangan 21-15.

Kepincangan beregu Malaysia itu pula terserlah dalam set penentuan yang menyaksikan segalanya serba tidak menjadi buat mereka.

Hirota yang menanggung kecederaan dengan memakai pendakap di lutut kirinya sebaliknya semakin mengancam bersama Fukushima untuk menang 21-8 dalam masa hanya 18 minit.

"Mentaliti kami lebih baik hari ini, kedua-dua perlawanan menampilkan strategi yang berlainan.

"Hari ini menjurus kepada permainan rali.

"Ada sedikit salah faham dengan arahan jurulatih yang menuntut kami supaya memberi hantaran tinggi selepas kami mendahului.

"Kami tidak faham dengan tujuan arahan itu," kata Meng Yean.






Sementara itu, Mei Kuan akur mereka mulai longlai gara-gara gagal menyesuaikan diri dengan permainan lawan.

"Corak serangan kami dalam set pertama lancar sambil kami dapat bertahan dengan baik.

"Tetapi dalam set kedua, saya rasa selepas mata ke-11 mereka mula ubah permainan.

"Kami berdepan dengan sedikit rintangan angin yang menyukarkan kami. Mereka tidak merejam pun dan asyik beri bola tinggi.

"Tapi kami takut untuk turunkan bola sebab mereka menunggu untuk menyerang balas. Kami terburu-buru untuk menyerang hingga terikut-ikut dengan rentak lawan," katanya.

Selepas tumpas Greysia Polii-Rahayu Apriyani dari Indonesia semalam, beregu wanita di ranking ke-11 dunia itu akan menutup tirai Kumpulan A bertemu pencabar dari Great Britain, Chloe Birch-Lauren Smith.