Beregu lelaki China, Li Junhui-Liu Yu Chen, menyekat kemaraan wakil negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dengan straight set dalam separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020, sebentar tadi.

Lawan di ranking keenam dunia itu mengambil masa 38 minit di Plaza Sukan Muhashino Forest untuk menafikan langkah Aaron-Wooi Yik ke penentuan pingat emas esok.

Walaupun Aaron-Wooi Yik -- yang mencipta sensasi menyingkirkan pilihan utama, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, semalam -- bermula dengan agresif, tetapi kedudukan itu sukar dipertahankan selepas mata ke-11.

Saingan makin mendebarkan tetapi Junhui-Yu Chen mula selesa untuk mengawal permainan sebaik mengutip mata ke-14 bagi menutup set pertama dengan 24-22.

Aaron-Wooi Yik -- yang membuat penampilan sulung temasya -- cuba bangkit dalam set seterusnya tetapi situasi itu tidak bertahan lama apabila mula goyah dengan beberapa kesilapan mudah.

Situasi itu terbukti apabila mereka membenarkan lawan mengutip lima mata berturut-turut sekali gus ketinggalan 10-17.

Pergelutan mereka berterusan sebelum Junhui-Yu Chen menutup pertarungan itu dengan kemenangan 21-13.

Sehubungan itu, tumpuan Aaron-Wooi Yik akan beralih ke perebutan pingat gangsa untuk mengatur pertemuan ulangan dengan seteru di peringkat kumpulan petang esok, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, yang dikecewakan Wang Chi-lin dan Lee Yang dari Taiwan.






"Fikiran kami hanya berjuang sahajalah. kami tidak rugi apa-apa dan hanya berikan saingan apabila masuk ke gelanggang," kata Aaron.

Menurut Wooi Yik yang tanpa berselindung mengenai prestasinya sendiri: "Kami berikan saingan tetapi ada mata-mata penting yang tidak boleh dimanfaatkan.

"Taktikal kami mula ada sedikit tidak betul. Mereka memberi tekanan besar sementara lawan pula terus mengasak. Lagipun saya membuat banyak kesilapan."