Pengembaraan perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 berterusan selepas mengalahkan Brice Leverdez dengan selesa dalam pertembungan Kumpulan M.

Meskipun mendahului set pertama 18-8, wakil negara di kedudukan lapan dunia itu gagal menghalang seteru dari Perancis tersebut daripada menghambat kedudukannya yang menyaksikan hanya empat mata memisahkan kedua-dua pemain.

Mendahului 20-16, Leverdez -- yang pernah mengalahkan Zii Jia dalam Terbuka Jerman pada 2017, -- mencuri satu lagi mata sebelum pemain Malaysia itu akhirnya menamatkan saingan 21-17.

Set kedua menyaksikan pemain Kedah itu tampil garang dan cuba menghantar Leverdez berhempas-pulas di setiap penghujung gelanggang di Plaza Sukan Musashino Forest berkenaan.

Menerajui permainan dengan 16 mata, Zii Jia langsung tidak memberi peluang kepada lawannya.

Namun, Leverdez berjaya mencuri dua mata sebelum pertarungan disudahkan 21-5.

Dalam perlawanan yang mengambil masa kurang 17 minit itu, Zii Jia mengesahkan kemaraannya ke peringkat 16 terbaik untuk bertemu Chen Long dari China, petang esok.





"Permulaan set pertama dia (Laverdez) agak cepat (pantas).

"Tapi kita tahu dia tidak suka dengan permainan rali dan cuba matikan bulu tangkis dengan 5-6 pukulan.

"Saya cuba bermain rali dan panjangkan permainan.

"Nampak strategi ini ada guna, tenaganya mula berkurangan dan jurang mata kami mula jauh," kata pemain negara itu di Nadi Arena.

Selepas menyaksikan Kento Momota gagal terkandas awal sementara hari ini Chou Tien-chen turut hampir dikejutkan oleh pemain Kanada, Brian Yang, Zii Jia tidak mahu menghiraukan faktor lain melainkan terus menjelmakan permainan terbaiknya.

Kelibat juara Seluruh England itu juga meraih pujia lawan yang bakal dihadapinya esok, Chen Long.

"Chen Long bukan jenis pemain yang suka melancarkan serangan minda.

"Dia adalah idola saya dan dari kecil lagi saya tengok dia bermain.

"Rekod pertemuan kami adalah 2-2 dan setiap kali lawan dengannya mesti diheret ke tiga set.

"Saya teruja untuk bertemu dengannya sekali lagi. Lagipun dia setahun tidak bermain.

"Setakat ini saya tidak mengalami kecederaan, keadaan terkini juga memang bagus. Sebelum datang saya berdoa agar semuanya OK, saya amat bersyukur.

"Esok saya perlu cuba yang terbaik."