Kesemua wakil badminton negara tiada pilihan lain dengan wajib memcatatkan kemenangan dalam aksi pembukaan masing-masing bagi merintis laluan ke pusingan seterusnya biarpun lawan sering menghantui mereka dalam kejohanan utama sebelum ini.

Kontinjen negara akan memulakan saingan pada Sabtu ini dengan tiga wakil negara akan turun berentap -- bermula dengan pasangan beregu wanita, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean, yang bertemu wakil Indonesia, Apriyani Rahayu-Greysia Poli.

Rekod pertemuan di antara mereka agak seimbang dengan dua perlawanan terakhir diungguli wakil Malaysia.

"Apa yang menarik mengenai pertandingan ini ialah mungkin berlakunya kejutan di peringkat awal.

"Kami harus bersedia bukan sekadar untuk menang, malah perlu menang sebaik mungkin.

"Mana tahu wakil negara mampu melakar kejutan, begitu juga sebaliknya. Kami tidak bertanding hanya berdasarkan satu pertarungan sahaja," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, di Nadi Arena sebentar tadi.




Dia optimis kemenangan mampu berpihak buat skuad negara yang membuat persiapan rapi sambil cuba merahsiakan taktikal yang bakal diketengahkan di peringkat awal kelak.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik akan menentang pencabar Korea Selatan, Seo Seung-jae dan Choi Sol-gyo, dengan dua wakil ini sama kental, sama hebat, seimbang dalam rekod pertemuan.

Chan Peng Soon-Goh Liu Ying pula perlu mencipta keajaiban dengan memadam badi kekalahan ketika berdepan beregu campuran Hong Kong, Tan Chungman-Tse Ying Yuet, yang tidak pernah ditumbangkan mereka sejak 2016.

Tambah Choong Hann: "Memang betul lawan dengan Korea Selatan penting tapi selagi kami bersiap sedia dan berasa selesa di gelanggang kelak, saya percaya keputusan boleh memihak kepada kami."