Presiden Persatuan Badminton Balaysia (BAM), Tan Sri Norza Zakaria, hari ini mengadakan perjumpaan bersama lapan wakil negara bagi memberi kata-kata semangat sebelum kem badminton negara berlepas ke Jepun.

Norza menekankan bahawa kini tiada istilah pemain BAM ataupun profesional, sebaliknya mereka yang terdiri daripada pembawa Jalur Gemilang, Lee Zii Jia (perseorangan lelaki), Soniia Cheah (perseorangan wanita), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (beregu campuran), Aaron Chia-Soh Wooi Yik (beregu lelaki) dan Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean (beregu wanita) itu menjadi tunjang untuk mengharumkan nama negara di pentas berprestij berkenaan yang bermula 23 Julai hingga 8 Ogos ini.

"Kalau tengok kelapan-lapan pemain yang akan mewakili negara ini, ia campuran pemain berpengalaman seperti Peng Soon-Liu Ying dan pemain yang akan mempunyai kemunculan pertama seperti Zii Jia dan Aaron-Soh.





"Kombinasi pemain muda dan lama ini saling melengkapi. Semangat yang ditunjukkan mereka amat membanggakan.

"Saya harap semangat dan kesusahan yang dilalui mematangkan mereka untuk mereka ke Tokyo dengan bangga dan bersedia," katanya dalam sidang akhbar.

Kempen kontinjen Malaysia akan bermula menerusi Mei Kuan-Meng Yean menentang pencabar dari Indonesia, Greysia Polli-Apriyani Rahayu, bagi aksi Kumpuan A di Musashino Forest Sport Plaza pada 24 Julai ini.