Beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perlu mengelak daripada terus menghadiahkan mata mudah kepada lawan sambil berharap dapat memadamkan kekecewaan hari ini.

Menggalas harapan pingat buat negara, kredibiliti itu bagaimanapun tidak terpancar dalam hari pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 apabila pemenang pingat perak temasya Rio 2016 tersebut kecundang di tangan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet menerusi pertarungan tiga set.

Ternyata mereka terus dihantui badi tiga kekalahan berturut di tangan lawan di ranking ke-13 dunia itu sebelum mengadakan pertemuan dengan pencabar Jerman, Mark Lamsfuss-Isabel Herttrich.

"Kami membuat kesilapan mudah ketika di kedudukan mata yang rapat.

"Pukulan kami kerap terkeluar mahupun sangkut di jaring. Ia mata yang sangat penting," kata Peng Soon.





Liu Ying pula mengakui perlu bangkit segera esok bagi mencerahkan laluan ke suku akhir.

"Kalau menang ke atas beregu Jerman, kami akan mengadakan perbincangan.

"Persembahan kami perlu yakin dan peluang masih ada, kami akan terus berjuang," katanya.