Kemenangan pertama yang dilakar dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 melegakan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, selepas menumpaskan pencabar Korea Selatan, Choi Sol-gyu-Seo Seung-jae, secara straight set, petang tadi.

"Kemenangan pertama memberikan keyakinan buat kami.

"Lagipun kali pernah sekali beraksi dalam kejohanan di sini, jadi perasaan bagus ini diharap dapat meneruskannya," kata Aaron sambil menjelaskan sudah membiasakan diri dengan tahap pencahayaan di gelanggang Plaza Sukan Musashino Forest itu.

Sementara itu, bekas beregu lelaki negara, Soh Beng Kiang -- yang beraksi di samping Yap Kim Hock ketika edisi pertama badminton diperkenalkan dalam Sukan Olimpik pada 1992 -- selaku bapa saudara Wooi Yik menyalurkan pengalamannya bagi membantu kem negara.




"Sebelum pertarungan ini, dia sempat menghantar mesej untuk beri pengetahuan saya mengenai persiapan termasuk aspek mentaliti.

"Ia dianggap sebagai motivasi dan boleh berjuang habis-habisan,' kata Wooi Yik.

Mereka akan berentap dengan beregu Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, bagi aksi seterusnya pada Isnin ini.