Pemain golf wanita negara, Kelly Tan, sedia memanfaat perkongsian daripada Gavin Green, bagi menghadapi saingan wanita bermula Rabu ini.

Kelly, yang akan melakukan penampilan keduanya di pentas Sukan Olimpik selepas edisi di Rio pada 2016, menjangkakan cabaran sukar yang sedang menantinya, apatah lagi akan beraksi buat kali pertama di Kelab Golf Kasumigaseki.

"Dia katakan bahawa lokasi lubang agak mencabar kerana kebanyakkanya agak ke dalam, jadi ia agak sukar kerana adakalanya anda boleh tersasar sedikit daripada apa yang anda lihat.

"Saya fikir ia memerlukan anda menyudahkan beberapa lubang untuk mendapatkan keyakinan diri," katanya kepada Nadi Arena.

Kelly tiba di Tokyo dari Los Angeles, Amerika Syarikat dua hari lalu, namun tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda kelesuan akibat penerbangan panjang.

Hari ini, dia hanya mengasah teknik pukulannya di 'driving range' selepas melakukan latihan 'putting' semalam.

"Saya dapat tidur dengan baik malam tadi, di mana saya amat penat pada petangnya.

"Saya berlatih sehingga tengah hari kelmarin untuk membuatkan saya aktif. Saya masih membiasakan diri dengan perubahan zon masa tetapi yakin akan mengatasinya pada hari perlawanan," tambahnya.

Sebagai rekod, Gavin menamatkan acara lelaki di tangga ke-57 keseluruhan hari ini .