Pemain golf wanita negara, Kelly Tan, menamatkan saingan hari pertama acara wanita Sukan Olimpik Tokyo 2020 di kedudukan ke-41 daripada 60 orang peserta hari ini.

Pemain wanita nombor satu negara itu melakukan 73 pukulan dua di atas par keseluruhan untuk berkongsi kedudukan dengan enam peserta lain.

Tiga bogey di sembilan lubang pertama merencatkan prestasinya tetapi Kelly bangkit dalam baki sembilan lubang terakhir, termasuk tiga birdie di lubang ke-11, 14 dan 15.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, dia berkata: "Saya fikir saya sudah bermain dengan agak baik cuma amat tidak bernasib baik di lubang ke-16, di mana pukulan saya tersasar dan bola saya tidak dapat dijumpai.

"Saya perlu memulakannya semula dan menghabiskannya dengan lima pukulan. Itulah satu-satunya catatan +2 saya hari ini.

"Saya berada di kedudukan dua atas par selepas sembilan pukulan dan saya memperbaikinya dalam sembilan lubang selepas itu, cuma tidak bernasib baik di lubang ke-16.

"Ia mengecewakan tetapi menggalakkan kerana saya tahu saya bermain baik.

"Saya gembira dengan beberapa birdie yang saya lakukan. masih ada tiga hari lagi, jadi saya akan menantikannya," katanya.