Pentas Terbuka Jepun sering membawa khabar gembira buat pemain badminton negara yang menyaksikan 11 gelaran berjaya dijulang, sekali gus bekalan psikologi terbaik ketika diletakkan sebagai sukan sandaran pingat emas dalam Sukan Olimpik Tokyo, bermula Jumaat ini.

Bekas perseorangan nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei, sahaja mempunyai koleksi enam gelaran Siri Super Jepun sejak dianjurkan pada 1977.

Roslin Hashim pula dinobatkan juara 2011, tiga lagi diungguli dalam acara beregu lelaki selain Chan Peng Soon-Goh Liu Ying muncul juara beregu campuran dalam edisi 2012.

Biarpun lokasinya saling bersilih ganti, skuad negara agak konsisten dalam saingan bertaraf super series 750 dalam kalendar Persekutuan Badminton Dunia (BWF) itu.

Cabaran yang menanti dalam temasya Olimpik Tokyo 2020 adalah badminton dilangsungkan di Plaza Sukan Forest Musashino dan bukannya gelanggang keramat, Gimnasium Metropolitan Tokyo, yang menjadi lokasi ping pong.

"Pemain (sekarang) perlu mengambil masa untuk menyesuaikan diri.

"Kejayaan lalu bukanlah satu petanda yang kekal," kata Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, di Nadi Arena sebentar tadi.





Dua jam sesi uji gelanggang yang diperuntukkan penganjur memadai buat barisan pemain mengekalkan rentak terbaik.

Lapan wakil negara yang tidak diiringi rakan pelatih mempunyai tempoh sehingga Jumaat ini untuk menyesuaikan diri sebelum peringkat kumpulan bermula.

"Kami mempunyai waktu yang cukup untuk membuat persediaan di gelanggang ini.

"Mungkin ada sesi latihan bersama dengan negara lain tapi kena tengoklah macam mana."