Perenang negara, Phee Jinq En, bersikap realistik apabila tidak meletakkan harapan tinggi untuk meraih keputusan cemerlang dalam acara 200 meter kuak dada wanita, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Atlet berusia 24 tahun itu mencetuskan sensasi dengan catatan 1:08.40s di peringkat saringan, kelmarin, sebagai tonik terbaik dengan memecah rekod kebangsaan 100m kuak dada.

Bagi memastikan misinya dalam penampilan kedua di pentas paling berprestij ini tercapai, Jinq En sedar ranjau dalam acara keduanya di Jepun iaitu 200m kuak dada wanita, esok.

Ini kerana pemenang empat pingat emas Sukan SEA itu layak menyertai acara berkenaan dengan catatan terakhir dalam kalangan semua perenang selain ia juga bukan acara kegemarannya.




"Secara jujurnya, saya tidak hebat untuk acara ini tapi sedia menyahut cabaran.

"Sebagai atlet, kami mempunyai tanggungjawab tidak kira berjaya atau menempuhi perlumbaan yang buruk.

"Saya belajar daripada temasya lalu," katanya.

Dia akan beraksi di peringkat saringan pertama di lorong kelapan di samping tujuh perenang lain yang mempunyai catatan yang jauh lebih baiknya tatkala 16 perenang terbaik akan ke saingan separuh akhir.