Persediaan kontinjen negara dalam situasi norma baru sepanjang latihan berpusat dianggap sebagai simulasi terbaik untuk mengelak tekanan berganda menghadapi Sukan Olimpik Tokyo 2020, Jumaat ini.

Berdasarkan perkongsian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Sukan Negara (ISN), Ahmad Faedzal Ramli, kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam, latihan berpusat selama 16 bulan banyak membantu persediaan mental atlet negara memandangkan Malaysia antara negara dalam kategori khas diletakkan penganjur susulan jumlah kes COVID-19 yang tinggi.

ISN menambah langkah tersendiri dalam pemantauan atlet dalam usaha mengelak wakil negara daripada bertambah tertekan.

"Saya yakin atlet yang layak ke Tokyo ini telah melalui fasa yang sangat mencabar untuk menghadapi Sukan Olimpik dan dapat menyesuaikan diri di sana.

"Kami mempersiapkan kekuatan minda mereka dalam soal bagaimana menjaga kualiti tidur selain simulasi tertentu untuk menghadapi tekanan," katanya dalam Nadi Arena sebentar tadi.







Tambahnya, program Road to Tokyo (RTT) memainkan peranan besar dalam persediaan atlet termasuk aspek membabitkan otot, fizikal dan meningkatkan teknik.

10 pegawai perubatan dan empat pegawai sains sukan peribadi turut dalam rombongan ke Jepun bagi memastikan persediaan dan pemulihan atlet dapat dijaga dengan lebih rapi.

"Kita ambil contoh Lee Zii Jia yang bergelut dalam siri kejohanan di Thailand. Kami selaraskannya semula dan kenal pastinya dan hasilnya boleh nampak dalam Terbuka Switzerland dan Seluruh England.

"Ini sebagai persiapan menghadapi situasi tidak menentu ketika COVID-19."