Lima birdie dengan catatan 1 di bawah par dalam aksi pusingan ketiga acara golf lelaki Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini menyaksikan pemain negara, Gavin Green, mempamerkan aksi terbaiknya setakat ini

Bagaimanapun, aksi meyakinkannya di Kelab Golf Kasumigaseki itu masih belum cukup untuk mengeluarkannya daripada kelompok bawahan.

Gavin melalui perlawanan panjang hari ini memandangkan perlu terlebih dahulu menghabiskan empat lubang daripada pusingan kedua yang ditangguhkan akibat hujan lebat semalam.

Secara keseluruhan, wakil negara itu menamatkan pusingan kedua dengan 72 pukulan 2 di atas par.

Dengan cuaca yang agak baik di venue berkenaan, Gavin membenam 5 birdie dalam pusingan ketiga tetapi turut mencatatkan empat bogey, sekali gus meletakkannya di tempat ke-58 dengan 70 pukulan 1 di bawah par.

Secara keseluruhan Gavin telah mencatatkan tiga di atas par selepas saingan hari ketiga.

Seandainya mahu mencapai misinya untuk memperbaiki kedudukan ke-47 yang dicatatkannya dalam edisi di Rio pada 2016, Gavin perlu mempamerkan aksi lebih sempurna dalam pusingan terakhir esok.