Ketua jurulatih beregu lelaki negara kelahiran Indonesia, Flandy Limpele, tidak berselindung di sebalik rasa bangga ke atas kejayaan anak buahnya dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020, malam tadi.

Aaron Chia-Soh Wooi Yik menewaskan dua gandingan terbaik dunia, Kevin Sanjaya Sukamulj-Marcus Gideon dan Muhamad Ahsan-Hendra Setiawan, untuk memenangi pingat gangsa dengan kedua-duanya dari negara republik itu juga.

Flandy merupakan antara Olimpian Indonesia yang pernah memenangi pingat Sukan Olimpik menerusi gangsa beregu lelaki Athens 2004 bersama gandingannya, Eng Hian.

Biarpun pencapaian skuad badminton di Tokyo tidak segah berbanding edisi Rio, lima tahun lalu, ia satu petunjuk yang baik kerana kali ini Malaysia dibarisi pemain yang membuat penampilan sulung di pentas paling berprestij dan masa depan badminton negara berada di landasan yang positif.

"Pasti (satu) kebanggaan buat saya sebab mereka adalah pemain saya memandangkan dapat mengalahkan beregu nombor satu dan dua (dunia).

"Cuma mereka masih jauh ke depan dan bisa lebih daripada itu. Saya berasa senang (hati) cuma berasakan mereka bisa boleh lebih (baik lagi)," katanya.

Badminton sentiasa dijadikan sukan harapan Malaysia untuk menyumbangkan pingat dalam Sukan Olimpik.

Pada 1992, tiada siapa boleh melupakan gandingan Datuk Razif Sidek dan Datuk Seri Jalani Sidek apabila menyumbangkan gangsa beregu lelaki di Barcelona, Sepanyol.

Hampir 30 tahun kemudian, acara yang sama warna pingat yang sama disumbangkan oleh Aaron-Wooi Yik.