Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, kekal dalam misi memburu pingat emas keirin, Sukan Olimpik Tokyo, bermula esok meskipun pelumba Belanda mendominasi saingan di Velodrom Izu.

Kekalahan awal dalam pecut individu bukan satu ukuran dan skuad berbasikal bakal menjadi penentu adakah Malaysia mampu mencapai sasaran tiga pingat termasuk satu emas yang diumumkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"Misi saya sudah tentulah mahu menang emas.

"Acara keirin adalah peluang paling tinggi untuk kami bawa pulang pingat emas.

"Apa yang saya dan Shah Firdaus harapkan ialah dapat masuk ke final. Itulah langkah pertamanya.

"Dari situ kami tunggu apa percaturan jurulatih, John Beasley.

"Kalau kami berdua dapat masuk ke final, peluang untuk menang lebih tinggi," kata pemenang gangsa keirin Kejohanan Dunia 2020 itu.






Harrie Lavreysen dan Jeffrey Hoogland mempamerkan dominasi podium buat Belanda dalam final hari ini.

Justeru, tidak hairanlah tumpuan mula terarah kepada mereka.

Tetapi itu tidak menyekat Azizul untuk terus memasang impian emas dalam acara kegemarannya itu.

"Kami kena berhati-hati dengan pelumba dari Belanda kerana mereka mempunyai kuasa kuda yang memberi kelebihan dua langkah lebih baik daripada yang lain.

"Banyak kemungkinan boleh berlaku dan juga pelaksanaan taktik (yang boleh memainkan peranan).

"Jadi adalah penting memainkan taktik yang betul pada hari perlumbaan," katanya.

Menurutnya lagi: "Kepada rakyat Malaysia, jangan terlalu kecewa. Kami telah buat yang terbaik, sudah tentu kami mempunyai perancangan tersendiri untuk cuba sebaik mungkin memenangi pingat emas dan peluangnya lebih tinggi dalam acara keirin.

"Acara keirin merupakan peluang terakhir kita jadi saya harap semua dapat mendoakan kejayaan kami.

"Insya-Allah kami akan buat yang terbaik demi negara tercinta."





Apa yang menarik, Shah Firdaus dan pengendali negara senada dengan Azizul.

Mereka tidak tertekan walaupun menjadi harapan terakhir untuk mencapai sasaran yang ditetapkan KBS.

"Apa sahaja boleh berlaku dalam berbasikal trek. Setakat ini saya menikmati perlumbaan dan tenang, tiada apa-apa tekanan untuk saya.

"Menang atau kalah bukan di tangan saya tapi saya akui fokus adalah keirin.

"Tentang medal itu, saya tidak boleh letakkan sasaran spesifik ataupun pergi final. Kami ambil langkah demi langkah," kata pemenang perak keirin Kejohanan Asia 2019 itu.

Beasley pula gembira dengan persiapan negara di landasan tepat berdasarkan prestasi sepanjang sepanjang minggu ini.

"Saya harap mereka dapat melepasi pusingan pertama sebelum terlibat dalam tiga perlumbaan pada Ahad ini.

"Senario paling buruk ialah kalau kami terpaksa mengharungi dua perlumbaan esok sebellum melunaskan cabaran pada Ahad," katanya.