Dani Alves mengatakan memenangi emas Sukan Olimpik adalah pencapaian terbesarnya dalam bola sepak setelah Brazil mengatasi Sepanyol untuk mempertahankan pingat emas di Tokyo 2020.

Brazil menyempurnakan kemenangan berturut-turut semalam, berikutan kejayaan dalam Rio 2016 dengan kemenangan 2-1 dalam masa tambahan.



Mikel Oyarzabal menyamakan kedudukan buat Sepanyol selepas Matheus Cunha meledak gol pembukaan saingan namun Malcolm yang hadir daripada bangku simpanan bertindak sebagai wira untuk Brazil kekal mempertahankan pingat emas.

Alves, pemenang Liga Juara-Juara (UCL) tiga kali dan telah meraih enam gelaran LaLiga, mengisytiharkan Tokyo 2020 sebagai kejayaan terbesarnya dalam bola sepak.

"Sejujurnya, ya," kata pemain berusia 38 tahun itu. "Kerana setiap tahun, saya bertanding berulang kali, tetapi dengan pingat ini, ini adalah peluang terakhir saya. Saya tidak berpeluang beraksi di Paris.

"Ini bermakna banyak bagi saya. Semua orang mempercayai saya, dan saya tahu ini adalah satu-satunya peluang, untuk dapat menikmati impian ini. Tidak setiap hari anda menjadi atlet Olimpik, walaupun mencecah usia 38 tahun.

"Saya menyertai saingan kali ini sama seperti pemain-pemain lain, untuk mencapai impian bersama-sama mereka. Dan kami berjaya, setelah banyak usaha dan pengorbanan, dan kami membawa pulang hadiah terbesar buat Brazil."