Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker, percaya gandingan negara, Pandelela Rinong-Leong Mun Yee, bijak dalam mengawal tekanan menjelang final acara terjun 10 meter platform seirama di Pusat Akuatik Tokyo esok.

Ia susulan harapan tinggi yang diletakkan di bahu mereka untuk menuai pingat pertama Malaysia di Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Segala perhatian akan tertumpu kepada skuad terjun negara yang akan memulakan cabaran esok, terutama membabitkan acara Mun Yee dan Pandelela yang diletakkan sebagai prospek menjelmakan kilauan pingat.

Dalam Piala Terjun Fina di venue sama pada Mei lalu, gandingan negara itu hampir merebut kedudukan podium sebelum akur menamatkannya di tempat keempat.

Menerusi satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Zulhelmi Zainal Azam, Brooker berkata:"Ia pastinya akan memberikan kesukaran tetapi ia bukanlah fokus kami.

"Kami hanya fokus kepada prosesnya dan apa yang boleh kami kawal.

"Kami tidak boleh mengawal perkara lain seperti juri, kami hanya boleh mengawal pemikiran mereka, jadi itulah yang akan kami lakukan.

"Kami akan memastikan mereka fokus untuk mengawal teknik, memastikan persiapan mereka di tahap yang betul dengan rutin yang baik dan memastikan segala-galanya dalam keadaan baik.

"Jika segala-galanya berjalan dengan baik dan persiapannya juga bagus, ia pasti akan memberikan pingat buat mereka.

"Kami mencuba untuk tidak memberikan tekanan buat mereka. Saya fikir mereka cukup berpengalaman untuk berada dalam situasi seperti ini.

"Dan mereka agak tenang. Jika anda dapat melihat mereka di perkampungan sukan, mereka baik-baik sahaja," katanya.

Sebagai rekod, Malaysia meraih pingat perak dalam acara 10m platform seirama dalam edisi di Rio 2016 menerusi gandingan Pandelela dan Cheong Jun Hoong.