Kejayaan jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang, merangkul pingat perak pada hari terakhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 menyelamatkan kempen kontinjen negara biarpun impian peribadi The Pocket Rocketman untuk menggenggam pingat emas masih tertangguh.

Bintang kelahiran Dungun, Terangganu itu muncul pelumba kedua terpantas di belakang juara bertahan dari Great Britain, Jason Kenny, dalam acara Keirin di Veledrom Izu hari ini.

Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, menjadi antara individu yang paling lega sejurus kontinjen negara menambah pingat perak dalam acara terakhir yang disertai itu selepas beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, membutirkan pingat gangsa.

Reezal Merican berkata kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri: "Sudah pasti (pingat perak) ini cukup bermakna memandangkan ini adalah hari terakhir sebelum tirai (Sukan Olimpik) dilabuhkan.

"Azizulhasni sejak dari awal lagi telah menjanjikan sesuatu, jadi dia adalah sebab saya mengemukakan sasaran pingat kerana kesungguhan, iltizam dan kemahuannya.

"Hari ini dia telah menunjukkannya dan saya amat berbangga dengan anak Terengganu ini kerana semangat yang ditunjukannya amat luar biasa," katanya.