Pemain bola tampar skuad Brazil yang digantung ketika bersaing dalam Sukan Olimpik Tokyo telah mendakwa bahan terlarang yang dijumpai dalam ujian yang dilakukan bulan lalu diperkenalkan secara tidak sengaja ke dalam sistem badannya.

Dalam surat yang dikeluarkan oleh peguamnya semalam, Tandara Caixeta, yang telah meninggalkan kem pasukan dan terbang pulang ke Brazil, tidak menjelaskan lebih lanjut tetapi mengatakan bahawa dia tidak sengaja mengambil Ostarina, ubat yang digunakan oleh atlet bina badan dan untuk meningkatkan prestasi.

"Kami sepenuhnya percaya bahawa kami akan membuktikan Ostarina memasuki organisma atlet secara tidak sengaja dan bahawa ia tidak digunakan untuk meningkatkan prestasi sukan," menurut surat peguam tersebut.

"Baru-baru ini, banyak atlet Brazil menjadi mangsa insiden yang melibatkan Ostarina," tambahnya, tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Jawatankuasa Olimpik Brazil mengumumkan perkhabaran mengenai ujian positif atlet itu sejurus sebelum tamat separuh akhir Brazil menentang Korea Selatan.

Brazil menang 3-0 untuk layak ke perlawanan pingat emas bertemu Amerika Syarikat.

Ujian doping tersebut dilakukan di pusat latihan bola tampar Brazil 7 Julai lalu, jelas Jawatankuasa Olimpik Brazil lagi.