Pemain persorangan wanita badminton negara, Soniia Cheah, diselubungi perasaan hiba sebaik tersingkir daripada Sukan Olimpik Tokyo 2020 hari ini.

Soniia tewas dalam aksi sengit menentang pilihan kelima dari Thailand, Ratchanok Intanon, selepas mempamerkan aksi terpuji sepanjang pertarungan itu.

Pemain berusia 28 tahun itu mencipta kejutan memenangi set pertama 21-19 dan walaupun pada satu ketika ketinggalan 0-7 pada permulaan set kedua, dia bangkit menyamakan kedudukan sebelum tewas tipis 21-18.

Soniia terpaksa menerima rawatan kecederaan kaki pada pertengahan set ketiga tetapi dia tidak mengalah untuk mempertaruhkan segala-galanya sebelum akur terkandas di peringkat kumpulan dengan kekalahan 21-10 itu.

Soniia jelas beremosi selepas perlawanan itu disebabkan keinginannya untuk menang dan dengan linangan air mata, dia menjelaskan betapa dia begelut sepanjang lapan tahun lalu -- termasuk menjalani empat pembedahan kaki -- demi merealisasikan impian keluarganya untuk melihat dirinya bergelar seorang Olimpian negara.

"Saya amat bersyukur dapat menyertai Sukan Olimpik selepas lapan tahun saya bergelut," katanya disulami tangisan hiba selepas perlawanan itu.

"Pada masa sama, saya rasa bersalah kerana tidak dapat memenangi perlawanan ini.

"Saya memohon maaf kepada keluarga, rakan-rakan dan seluruh peminat yang telah menyokong saya.

"Saya sudah melakukan yang terbaik tetapi tidak dapat memenangi perlawanan ini.

"Saya benar-benar sudah melakukan yang terbaik. Saya perlu memberikan pujian buat Ratchanok kerana dia dapat menyerap tekanan dan mengubah perlawanan ini.

"Saya mengucapkan selamat berjaya buatnya untuk perlawanan yang akan datang," katanya.