Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, akan berdepan pilihan ketiga dari China, Li Jun Hui -Liu Yu Chen, dalam separuh akhir Sukan Olimpik Tokyo 2020 petang esok.

Gandingan negara itu mencipta kejutan apabila mudah menyingkirkan beregu nombor satu dunia dari Indonesia, Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo, 21-14, 21-17 dalam suku akhir hari ini.

Bagaimanapun mereka akan melalui satu lagi cabaran besar untuk menumbangkan beregu utama China, Jun Hui-Yu Chen, demi memastikan kilauan pingat buat negara.

Wakil China itu mengesahkan tempat ke separuh akhir selepas menewaskan beregu Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 12-21, 21-14, 21-19.

Berdasarkan lima pertemuan lalu, Aaron dan Wooi Yik belum pernah menenang menentang lawan di rangking keenam dunia itu tetapi kemenangan ke atas Gideon dan Sanjaya hari ini sudah cukup untuk menceritakan kisah berbeza di pentas Sukan Olimpik.

Seandainya menang, mereka akan bertemu sama ada wakil Taiwan, Lee Yang-Wang Chi-lin, atau pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, dalam final.