Beregu lelaki badminton negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, memulakan saingan Kumpulan D, Sukan Olimpik Tokyo 2020 dengan langkah kanan apabila menewaskan gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seungjae, 2-0 sebentar tadi.

Hanya 44 minit diperlukan gandingan negara itu untuk merakamkan kemenangan 24-22, 21-15 di Gelanggang 3, Musashino Forest Plaza.

Aaron dan Wooi Yik mendahului 5-3 dalam set pertama tetapi selepas itu tiada ruang untuk mereka menarik nafas lega dalam aksi saling berkejaran mata itu sehingga terikat 20-20 tetapi dua kesilapan agakan yang dilakukan Solgyu dan Seungjae memberikan naib juara Seluruh England 2019 itu kemenangan dalam set berkenaan.

Aksi dalam set kedua juga pada awalnya berlangsung dengan amat seimbang, namun sebaik mata terikat 13-13, gandingan negara itu langsung tidak menoleh ke belakang untuk meraih mata pertama dalam saingan peringkan kumpulan berkenaan.

Kemenangan itu sudah pasti akan memberikan motivasi tambahan buat Aaron dan Wooi Yik menjelang pertembungan dengan pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan, Isnin ini.