Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, tidak mahu memikirkan siapakah seteru mereka dalam suku akhir, Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Mereka melepasi rintangan Kumpulan D dengan kemenangan dalam aksi terakhir selepas tewas kepada pencabar nombor dua dunia, Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan, semalam.

Mereka mengesahkan kemaraan apabila mengetepikan tentangan beregu Kanada, Ho Shue Jason-Yakura Nyl, 21-15, 21-13, sebentar tadi.

"Ada tekanan juga walaupun mereka bukan lawan kuat seperti sebelum ini, tapi kami tetap berwaspada.

"Ada kesilapan sikit sebelum kami bangkit. Kami keluar zon selesa untuk bermain dengan baik," kata Wooi Yik.

Menurut Aaron pula: "Kami pertama kali lawan wakil Kanada ini, lagipun salah seorang daripadanya bermain untuk acara perseorangan, mungkin taktikal mereka ada sedikit kelainan.

"Sebelum rehat mata ke-11 set pertama, rentak permainan kami diubah sedikit sebab corak mereka agak berbeza, kami tidak dapat bermain seperti biasa."




Sebelum keputusan undian suku akhir sebentar tadi yang bakal menemukan mereka Kevin Sanjaya-Marcus Gideon, Khamis ini, Wooi Yik enggan terlalu memikirkan siapakah seteru yang bakal dihadapi.

"Kami tidak boleh kisah banyak, lawan sahaja. Tidak mahu ada tekanan (kepada diri sendiri). Kami akan curahkan segala kudrat," katanya.

Kevin-Marcus merupakan beregu nombor satu dunia dengan rekod tujuh kemenangan berpihak kepada beregu Indonesia itu.