Tokyo 2020: Aaron Chia-Wooi Yik wajib menang esok

Shaiful Shamsudin
Julai 26, 2021 15:09 MYT
Kecekapan Mohamad Ahsan-Hendra Setiawan menghidu peluang terhidang menyaksikan mereka membenam beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, dalam aksi menarik Kumpulan D hari ini.
Wakil Malaysia itu -- yang mencipta kemenangan dalam aksi pertama kumpulan Sabtu lalu -- diberi tekanan awal apabila kecundang 16-21 di Plaza Sukan Musashino Forest.
Aaron-Wooi Yik kemudian menyajikan persembahan baik dalam set kedua sebelum beregu di ranking kedua dunia dari Indonesia itu mula mengejar dan menyamakan kedudukan 12-12 sebelum mendahului kedudukan 20-17.
Di sebalik usaha pemain negara itu, mereka terpaksa dengan kekalahan 19-21 sebaik bulu tangkis terkeluar gelanggang.
Sehubungan itu, Aaron-Wooi Yik perlu menang dalam pertemuan terakhir kumpulan menentang wakil Kanada, Jason Ho-Shue/Nyl Yakura, esok, bagi perebutan dua tempat teratas sebagai syarat untuk kemaraan suku akhir.
“Kami bermain dengan baik dalam set kedua tetapi selepas rehat (mata ke-11), kami gagal mengekalkan rentak,” kata Aaron.
#badminton #Sukan Olimpik #Tokyo 2020