Hajat peninju profesional negara, Adli Hafidz Pauzi, untuk bertarung dengan Robert Kopa di Jakarta, Indonesia tertangguh berikutan masalah visa.

Peninju negara itu sepatutnya turun ke gelanggang dalam acara middleweight pada hujung minggu depan tetapi hasratnya itu terpaksa ditangguhkan buat seketika.

Ia merupakan satu misi penting buat peninju kelahiran Johor itu memandangkan dia akan turun untuk melebarkan rekod kemenangannya kepada 9-0 dalam Kejohanan Pertubuhan Tinju Antarabangsa (UBO) Antara Benua berkenaan.

Dalam satu temu bual Nadi Weekend hari ini, dia berkata: "Sebenarnya saya sepatutnya berlepas (ke Indonesia) pada Khamis lalu tetapi setibanya saya di KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur), saya mengalami masalah visa dan pasport.

"Saya dimaklumkan bahawa jika mahu ke Indonesia, saya perlu memohon pas lawatan sementara, di mana saya tidak melakukan permohonan untuk pas lawatan itu.

"Jadi, untuk keluar daripada Malaysia tiada masalah, semua urusan sudah diselesaikan cuma itulah yang menjadi masalah sehingga saya tidak dapat ke Indonesia.

"Saya terpaksa menunda jadual penerbangan saya kepada minggu depan.

"Pertarungan saya juga akan didunda kepada 2 Oktober ini kerana pertarungan saya merupakan acara utama dalam kejohanan itu," katanya.