Tiga saat sahaja diperlukan untuk Tiger Woods menunjukkan bahawa dia mungkin akan kembali beraksi pada masa depan.

Kerjaya pemenang 15 kejuaraan utama itu diragui sejak cedera parah dalam satu kemalangan pada Februari lalu sebelum dia mengeluarkan satu video pendek, malam tadi, yang menunjukkan dia membuat pukulan iron.

Ia adalah kali pertama dunia menyaksikan hayunan hebat pemain itu sejak dia bernasib baik daripada mengalami kecederaan parah akibat kemalangan berkenaan.

Kaki kanannya patah teruk dan dia memerlukan pembedahan kecemasan selepas keretanya merempuh sebatang pokok di California yang mengakibatkannya turut mengalami kecederaan di kaki dan buku lalinya.

Pemain berusia 45 tahun itu kemudian menjalani pemulihan intensif sebelum kembali memukul bola, ia secara tidak langsung melambangkan satu langkah besar dalam proses pemulihannya.

Dalam sebuah rakaman ringkas itu, dia kelihatan berseluar pendek sambil memakai sarung di kaki kanannya. Walaupun video itu menunjukkan Woods hanya melakukan satu pukulan, dia kelihatan berada di lapangan beserta sebakul bola.

Dia menyiarkan video itu dengan pesanan ringkas -- "Membuat kemajuan".

Ia menimbulkan harapan – untuk Woods dan peminat golf – bahawa bintang Amerika Syarikat itu mungkin kembali bersaing dalam Jelajah PGA pada tahun depan.

Mei lalu, Woods berkata objektifnya adalah untuk dapat berjalan semula tanpa menggunakan alata bantuan, nampaknya dia kini sudah melepasi tahap itu.




Polis Los Angeles pada April lalu mendedahkan kemalangan Woods berpunca daripada kelajuan tinggi yang menyebabkan keretanya hilang kawalan.

Polis yang memeriksa data yang direkodkan kenderaan itu -- model Genesis GV80 2021 -- mendapati atlet tersebut telah memandu dalam kelajuan melebihi 80mph di kawasan dengan had laju yang ditetapkan, 45mph.

Pihak berkuasa percaya juara Masters lima kali itu mungkin secara tidak sengaja telah memijak pedal minyak, bukannya brek kerana tiada bukti.