Keputusan berhijrah kepada skuad beregu daripada sekuad perseorangan wanita hampir dua tahun lalu merupakan taruhan terakhir buat M. Thinaah dalam mempertimbangkan masa depannya sebagai pemain badminton kebangsaan.

Hari ini, dia mula menikmati hasil daripada langkah berani itu dan dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Shahrazad Sani, pemain berusia 23 tahun itu turut mendedahkan satu elemen yang mampu menjadikan dia dan Pearly Tan sebagai satu gandingan mantap di pentas antarabangsa.

Ketika ditanya apa yang menjadikan mereka sebagai gandingan yang baik di atas gelanggang, Thinaah berkata: "Saya fikir ia kerana kami banyak berkomunikasi di atas gelanggang, bukan sekadar cara permainan tetapi juga mengenai perasaan kami ketika dalam perlawanan.

"Jika dia tidak berasa baik pada hari itu, dia akan memberitahu saya. Kami berkomunikasi dalam setiap mata dan setiap perlawanan, jadi itulah yang membuatkan kami semakin rapat sebagai satu gandingan.

"Sudah pasti (kami bersahabat baik) kerana kami sudah berkawan sejak sekian lama, jadi untuk kami bergandingan bersama merupakan satu perkara yang amat menggembirakan," katanya.

Mengenai peralihannya ke kem beregu wanita, Thinaah menambah: "Sejujurnya saya tidak pernah terfikir ia akan seberjaya ini.

"Kerana pada ketika saya beralih daripada perseorangan kepada beregu, saya tidak meletakkan sebarang sasaran kerana saya sedar pencapaian saya dalam acara perseorangan.

"Kerana sewaktu menjadi pemain perseorangan, keputusan saya tidak berapa bagus, jadi saya memberitahu kepada jurulatih Rosman (Razak) mengenainya dan jika dia tidak menerimanya pada waktu itu, mungkin saya akan keluar daripada BAM (Persatuan Badminton Malaysia) kerana saya sudah tiada motivasi dalam acara perseorangan.

"Jadi, peluang yang diberikan dalam acara beregu ini merupakan sesuatu yang amat positif buat saya," katanya lagi.