Jurulatih skuad terjun negara, Christian Brooker dan Yang Zhuliang, perlu mengucapkan selamat tinggal kepada anak buah mereka selepas kontrak kedua-dua jurulatih itu tidak disambung.

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Majlis Sukan Negara (MSN) bersama Persekutuan Renang Malaysia hari ini dan ia dilaporkan berpunca daripada kegagalan skuad terjun negara meraih pingat dalam Sukan Olimpik Tokyo 2020 bulan lalu.

Rombakan besar-besaran itu menyaksikan Brooker dan Zhuliang akan meninggalkan skuad kebangsaan bermula Khamis ini.

Ia tidak lama selepas barisan penerjun kebangsaan gagal mencapai sasaran satu pingat yang ditetapkan kontinjen negara dalam temasya di Tokyo itu.

Dalam satu temu bual Nadi Arena, Naib Presiden Persekutuan Renang Malaysia, Datuk Nawawi Reduan, berkata: "Kontrak Christian Brooker telah ditamatkan dan tidak dapat diteruskan lagi kerana ia merupakan satu perkara yang tidak dapat dielakkan.

"Untuk Zhuliang pula, ia terpulang kepada MSN untuk menentukan perkara itu. Kontraknya juga akan tamat pada tahun ini."

Dalam pada itu, kontrak seorang lagi jurulatih negara, Li Rui, disambung untuk dua tahun lagi sambil Persekutuan Renang Malaysia dilaporkan sedang mengadakan rundingan dengan sorang jurulatih dari China untuk dijadikan sebagai pembantunya.