Terbuka Thailand: V Shem-Wee Kiong mara ke final

Ammar Hakim
Januari 16, 2021 08:32 MYT
Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, lolos ke final Terbuka Thailand, selepas mengatasi gandingan Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, di Impact Arena, Bangkok sebentar tadi.
Gandingan profesional Malaysia, yang mengatasi dua beregu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei, dalam perjalanan mengecap kejuaraan pertama bagi musim 2021 apabila merekodkan kemenangan straight set mengetepikan wakil Indonesia serta juara remaja dunia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin 21-19, 21-10.
Pengalaman dilihat sebagai senjata utama gandingan itu, bakal berdepan pemenang di antara pilihan keenam, Lee Yang-Wang Chi-Lin dari Taiwan atau pilihan ketujuh, Choi Solgyu-Seo Seung-Jae dari Korea Selatan yang turun memburu satu lagi tiket ke final sebentar lagi.
"Dalam set kedua, mereka bermain agak tergesa-gesa dan ia membuka peluang buat kami untuk membentuk permainan yang cemerlang sebelum menang," kata V Shem.
"Kami telah mengatasi dua lawan yang kami amat kenali corak permainan (dua beregu negara) tetapi kami masih lagi memastikan tumpuan bagi permainan kami sendiri," ujar Wee Kiong.