Hajat beregu profesional negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, tidak kesampaian apabila terpaksa akur naib juara Terbuka Thailand di sebalik kebangkitan dipamerkan ketika aksi final sebentar tadi di Impact Arena, Bangkok, Thailand.

Dalam pertembungan final berdepan pilihan keenam dari Taiwan, Lee Yang-Wang Chi Lin, V Shem-Wee Kiong tewas set pertama 16-21 namun bangkit memenangi set kedua dalam perlawanan mendebarkan 23-21 sekali gus mengheret aksi ke set penentuan.

Aksi cemerlang yang dipamerkan itu gagal diteruskan apabila mereka tewas 19-21 dalam set ketiga sekali gus meleburkan harapan untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama lebih setahun selepas kali terakhir menjuarai Terbuka Taiwan (September 2019).

"Mereka bermain pantas dalam set pertama sehingga berjaya memenanginya. Kami telah berusaha mengejar mereka dan permainan sentiasa dibezakan dengan dua mata," kata V Shem.

"Permainan yang konsisten mereka sukar ditandingi dalam perlawanan ini, mereka bermain baik dan berjaya memenangi perlawanan.

"Kami sangat gembira kerana dapat kembali beraksi, gembira dengan pencapaian kejohanan ini dan kami akan terus berusaha dan cuba menampilkan permainan yang lebih baik selepas ini."