Wakil beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie mara ke pusingan kedua Terbuka Thailand selepas merakamkan kemenangan ke atas wakil Perancis, sebentar tadi.

Ini merupakan pertemuan pertama Soon Huat-Shevon Lai dengan pasangan Perancis, Ronan Labar dan Anne Tran, yang baru bertukar portfolio -- daripada beregu wanita ke beregu campuran tahun lalu.

Permainan pantas daripada kedua-dua pasangan yang cukup menghiburkan, namun ketenangan wakil negara memberikan mereka kelebihan untuk menang set pertama 21-16.

Seperti dijangka, saingan menjadi lebih sengit dalam set kedua di mana Soon Huat-Shevon mula merasai tekanan daripada kesilapan berulang, sebelum akur tewas 14-21.

Peluang kedua Soon Huat-Shevon untuk mara ke pusingan kedua, kemudiannya bermula hampa apabila sekali lagi ketinggalan 7-11 dalam set ketiga.

Namun situasi bertukar selepas rehat -- keengganan Soon Huat-Shevon untuk mengalah awal, memenatkan lawan dari Perancis sehingga Tran juga dilihat terduduk sebelum permainan dinokhtahkan dengan keputusan 21-17.

"Kami mengakui belum berada di tahap terbaik dan berharap untuk memperbaikinya bagi perlawanan akan datang. Ini merupakan perlawanan yang penting bagi kami selepas lama tidak beraksi dalam kejohanan," kata Shevon.