Dilema skuad badminton negara untuk menyertai tiga kejohanan penutup musim di Thailand akhirnya terjawab apabila Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengesahkan telah mendapatkan lampu hijau untuk pemain negara ke Bangkok.

Malaysia layak menampilkan 13 wakil dalam dua aksi Terbuka Thailand itu hujung bulan ini dan tiga daripada mereka adalah wakil daripada kem profesional negara

Dua saingan terbuka itu menawarkan mata kelayakan ke Kejohanan Jelajah Final Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang kemudian akan turut berlangsung di venue sama.

Mengulas mengenai perkara itu, Presiden BAM, Tan Sri Norza Zakaria, berkata kepada Nadi Arena: "Kami telah mendapat lampu hijau untuk ke Bangkok bagi menyertai siri kejohanan di sana dan kami semua sudah bersedia.

"Bukan hanya BAM mengharapkan barisan pemain ini dapat memberikan prestasi terbaik tetapi saya rasa pemain sendiri dan jurulatih yang terlibat juga mahu menunjukkan atau membuktikan bahawa selama lebih enam atau tujuh bulan ini, mereka telah berkampung di Akademi Badminton Malaysia dengan pelbagai perasaan, jadi kami mahu melihat pemain dapat menepati harapan itu," katanya.