Menjelang dua kejohanan penutup musim di Bangkok, Thailand bulan depan, timbul persoalan mengenai siapa perseorangan lelaki yang akan mengiringi pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia?

Dan bilakah skuad negara akan berlepas ke lokasi kejohanan itu berbaki kurang seminggu daripada tarikh akhir untuk melapor diri bagi menyertai dua kejohanan bertaraf terbuka berkenaan?

Ketika ini, nama paling berkemungkinan untuk mengisi kekosongan itu adalah juara Kejohanan Jemputan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Ng Tze Yong, yang secara peribadi menjadi pilihan utama Zii Jia sebagai rakan sepelatihnya di Bangkok.

Dalam satu temu bual bersama Nadi Arena, perseorangan lelaki nombor satu negara itu berkata: "Alasannya adalah dia baru sahaja menjuarai Kejohanan Jemputan BAM, jadi saya rasa ia satu peluang untuk dia menyaksikan sendiri persaingan di peringkat tertinggi. Ia akan memberikannya satu pengalaman yang bagus.

"Saya dapat lihat dia mempunyai sikap yang bagus dan berkeinginan untuk menjadi pemain di peringkat tertinggi.

"Saya agak kasihan dengannya kerana dia baru sahaja mahu mengejar ranking dunia tetapi terdapat gangguan (pandemik) COVID-19 dan dia tidak dapat menyertai kejohanan.

"Saya harap dengan membawanya ke Terbuka Thailand, ia dapat memberikannya pengalaman dan semangat untuk berlatih kerana ramai pemain ketika ini sudah kekurangan motivasi," katanya.

Dalam pada itu, Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann, mengesahkan skuad negara hanya akan berlepas ke Bangkok pada hari terakhir pendaftaran pemain, iaitu pada 4 Januari ini.

"Kami akan berlepas pada 4 Januari berdasarkan jadual dan perancangan logistik kami.

"Kami memiliki kelebihan geografi berbanding negara lain, jadi saya tidak fikir ia satu isu yang besar buat kami.

"Saya fikir kami dapat menguruskannya kerana terdapat pesawat untuk kami memenuhi tarikh tutup itu," katanya.