Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, menganggap kegagalan di pentas akhir Kejohanan Badminton Terbuka Thailand yang kedua hari ini sebagai petanda bahawa beregu lelaki kebangsaan, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, perlu lebih bekerja keras.

Wakil tunggal dalam perlawanan akhir di Impact Arena itu terpaksa tunduk dengan ketangkasan Lee Yang-Wang Chi Lin 21-13, 21-18.

"Mereka masih belum dapat menyaingi lawan Lee Yang-Chi Lin yang mempamerkan kekuatan dan kepantasan.

"Walaupun cuba mengubah strategi, ia masih dapat dibaca lawan. Wakil negara masih ada kekurangan dan akan terus memperbaikinya," katanya dalam program Nadi Weekend, sebentar tadi.





Pendapat itu senada dengan Wooi Yik yang mengakui pencabar dari Taiwan berkenaan jauh lebih ampuh untuk meneruskan rentak kejuaraan mereka minggu lalu.

"Kami sukar menyerang dalam set pertama dan kami cuba lebih agresif tetapi lawan bermain dengan baik serta berikan kami tekanan," katanya.

Kata Aaron pula: "Kami cuma fokus kepada pungutan satu per satu mata, bukannya memikirkan soal kemenangan.

"Persembahan kami lebih baik dari minggu lalu, walaupun kami gagal dalam final hari ini tapi muncul naib juara."

Dengan dua hari lagi kemuncak Kejohanan Jelajah Dunia BWF 2020 bakal dilangsung di venue sama, Choong Haan menambah anak buahnya itu perlu memperbaiki aspek permainan di depan jaring seandainya berjumpa lawan yang sama.

"Aaron-Wooi Yik memang gemar menyerang tapi mereka perlu lebih cepat di depan jaring agar dapat bola tinggi.

"Dengan strategi dan kepercayaan, mereka perlu mahir menukar rentak agar dapat mengganggu lawan," katanya.

Selain Aaron-Wooi Yik, empat lagi wakil negara diketuai perseorangan lelaki, Lee Zii Jia; beregu campuran, Tan Kiang Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon serta selain satu lagi beregu lelaki daripada kem profesional, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi.