Pemain perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, terpaksa melupakan impian untuk mempertahankan kejuaraan Terbuka Taiwan apabila terkandas dalam pusingan kedua hari ini.

Pemain berusia 21 tahun yang menduduki ranking ke-13 dunia itu tewas mengejut kepada pemain di ranking ke-31 dari Indonesia, Shesar Hiren Rhustavito, 21-16, 22-20.

Zii Jia yang diletakkan selaku pilihan keempat tewas dalam set pertama sebelum mencuba untuk bangkit dalam set kedua untuk mengheret perlawanan ke set penentuan, namun jelas kepenatan membataskan perjuangannya.

"Saya memang kena terima saya kalah hari ini.

"Mungkin daripada segi mental sudah penat semua sebab sudah berturut-turut beberapa kejohanan dari Terbuka Indonesia hingga sekarang.

"Saya anggap ini satu pengalaman untuk saya. Saya ada satu minggu lagi untuk buat persiapan ke Terbuka China dan kejohanan lain lagi," katanya.

Sementara itu, seorang lagi wakil perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, menceriakan skuad badminton kebangsaan apabila mara ke suku akhir selepas menewaskan pemain tuan rumah, Lin Yu Hsien.

June Wei, yang bermula cemerlang melepasi pusingan kelayakan, bagaimanapun, terpaksa bermandi peluh selama 71 minit sebelum menjinakkan wakil tuan rumah itu 17-21, 21-18, 21-18.

Pemain di ranking ke-78 dunia itu dijangka berdepan halangan sukar dari pilihan utama dari Taiwan, Chou Tien Chen, yang mengenepikan Sourabh Verma dari India, 21-12, 21-10.

Turut mara ke suku akhir ialah beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, yang mudah mengenepikan wakil Indonesia, Wahyu Nayaka Arya Pangkaryanira-Ade Yusuf Santoso, 21-17, 21-15.

Gandingan beregu campuran profesional negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, mengharungi 51 minit sebelum menewaskan pasangan Vietnam, Do Tuan Duc-Pham Nhu Thao, 21-17 19-21 21-17.

Bagaimanapun, nasib berbeza bagi satu lagi pasangan negara, Hoo Pang Ron-Cheah Yee See, yang tunduk kepada pilihan ketiga dari Indonesia, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, 21-18, 21-13.

-- BERNAMA