Perseorangan lelaki nombor satu negara, Lee Zii Jia, bakal menghadapi ujian berbeza dalam usaha mempertahankan kejuaraan apabila turun membuka kempen Terbuka Taiwan.

Ini kali pertama Zii Jia turun sebagai juara bertahan dalam kejohanan bertaraf Super 300 Jelajah Persekutuan Badminton Dunia (BWF).

Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, berpandangan Zii Jia akan merasai satu tekanan unik di mana dia menjadi buruan setiap pemain.

"Zii Jia kini perlu menerima lawan mahu menewaskannya. Buat masa ini, dia perlu meningkatkan lagi mutu permainannya bagi menghadapi saingan di Taiwan," katanya.

Choong Hann dalam masa sama berasakan Zii Jia sepatutnya melangkah jauh dalam saingan ini berdasarkan jurang kualiti dia dengan pemain dalam kelompok elit.

Di Taiwan, hanya ada seorang pemain dalam ranking lima terbaik, iaitu pemain kedua dunia, Chou Tien Chen, yang merupakan wakil tuan rumah dan pilihan pertama kejohanan.

"Selepas ini, Zii Jia harus memberikan tumpuan untuk mencapai tahap yang sama dengan enam pemain terbaik dunia bagi meneruskan peningkatannya," tambah Choong Hann.

Zii Jia akan memulakan kempen mempertahankan gelaran hari ini menentang wakil daripada peringkat kelayakan, Hsueh Hsuan Yi, yang juga daripada kem tuan rumah.