Man Wei Chong-Tee Kai Wun layak ke final kedua mereka tahun ini dengan kemenangan meyakinkan dalam separuh akhir Terbuka Taiwan, petang tadi.

Man-Tee hanya memerlukan 36 minit untuk mengetepikan Su Ching Heng-Ye Hong Wei 21-13, 22-20 bagi memastikan pertemuan dengan juara Sukan Olimpik Tokyo, Lee Yang-Wang Chi-lin.

Beregu lelaki negara nombor 36 dunia itu mempamerkan prestasi tekal dalam kejohanan badminton bertaraf Super 300 ini apabila memenangi hampir kesemua perlawanan mereka dengan straight set.

Sekiranya Man-Tee menghadirkan kejutan ke atas seteru pilihan tuan rumah itu, ia akan menjadi gelaran kedua buat mereka selepas gelaran Kejohanan Antarabangsa Syed Modi pada Januari lalu.

Prestasi mantap mereka juga menamatkan rekod buruk Malaysia dalam lima kejohanan Jelajah Dunia berturut-turut tanpa kemaraan ke peringkat akhir.




Lee Yang-Chi Lin lolos ke final di hadapan penyokong sendiri menerusi kejayaan menumbangkan beregu profesional, Boon Xin Yuan-Wong Tien Ci, 21-10, 21-14.

Dalam masa sama, rentak kemenangan Soong Joo Ven berakhir di tangan Chou Tien Chen dalam perseorangan lelaki selepas pilihan utama itu mudah mengatasi pemain Malaysia itu 21-12, 21-12.

Dalam beregu campuran pula, beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, mempamerkan aksi bersemangat ketika menentang Reginald Lee-Ng Tsz Yau tetapi beregu Hong Kong itu tetap kental menang 23-21, 23-21.