Biarpun akan turun dengan reputasi selaku pilihan utama kejohanan, beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Woi Yik, tidak menganggapnya sebagai satu kelebihan menjelang saingan Terbuka Switzerland pada 2 Mac ini.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Syakirah Zulkifly, hari ini, Aaron turut mengakui bahawa ia merupakan peluang terbaik untuk mereka merebut mata kelayakan ke Sukan Olimpik Tokyo memandangkan tiada penyertaan pencabar utama dari Indonesia dan Taiwan.

Dua pasangan utama Indonesia, iaitu Marcus Gideon-Kevin Sukamuljo dan Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan, yang masing-masing berada di ranking nombor satu dan dua dunia, selain pasangan Taiwan, Le Yang- Wang Chi Lin, tidak menyertai kejohanan pertama pusingan kelayakan itu dan ia pasti memberikan kelebihan untuk beregu negara berkenaan memastikan pungutan mata terbaik mereka.

"Saya rasa walaupun banyak beregu lain tidak ke sana, ia masih bukan mudah untuk bermain di sana.

"Mungkin ada sedikit kelebihan untuk memungut mata ke ke sukan Olimpik," katanya.