Beregu campuran profesional negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, bergelar naib juara Kejohanan Badminton Terbuka Switzerland selepas tewas kepada gandingan China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin di Basel sebentar tadi.

Turun selaku pilihan keenam, Soon Huat dan Shevon berdepan kesukaran dalam set pertama, di mana mereka tidak pernah mndahului sejak kedudukan terikat 5-5 sebelum tewas 17-21.

Pasangan negara itu kemudian mempamerkan kebangkitan dalam set kedua biarpun pada satu ketika ketinggalan 7-13 sebelum meraih mata demi mata untuk menang 21-19.

Aksi kian sengit dalam set penentuan untuk kedua-dua beregu saling berkejaran mata tetapi sebaik terikat 16-16, pasangan negara itu kelihatan kehilangan fokus dan terpaksa akur menamatkan saingan selama sejam itu dengan kekalahan 17-21.