Terbuka Switzerland yang bermula 17 Mac depan menjadi medan untuk pemain perseorangan lelaki negara, Cheam June Wei, menguji prestasinya.

Dia tidak mahu sekadar dikenali sebagai 'pembunuh gergasi' sahaja susulan kejayaan membawa Malaysia ke final Kejohanan Berpasukan Asia di Manila, Filipina, dua minggu lalu.

Pemain berusia 23 tahun itu melakar kejutan apabila menundukkan Son Wan Ho, Kenta Nishimoto, khususnya Jonathan Christie dalam saingan final kejohanan berpasukan itu, justeru kali ini dia berharap dapat memberi saingan yang lebih jitu di Eropah.

"Saya tidak mahu sekadar menyerlah dalam satu kejohanan sahaja.

"Saya berharap dapat mengulangi prestasi seperti di Manila yang lalu.

"Saya harap mula dapat mencabar kejohanan bertaraf super 500 ke atas dan mengukuhkan tempat dalam barisan skuad Piala Thomas," katanya ketika muncul dalam program Nadi@1 sebentar tadi.

Piala Thomas akan berlangsung di Denmark, Mei depan, dan ia akan menjadi kemunculan pertamanya di pentas itu.

Selepas ditimpa beberapa siri kecederaan yang memaksanya berehat hampir enam bulan tahun lalu, pemain kelahiran Pulau Pinang itu menyasarkan kelompok 30 pemain terbaik pada penghujung tahun ini.

Selepas bertanding dalam Terbuka Switzerland, Kejohanan Masters Orleans di Perancis akan menyusul dan kesempatan itu tidak mahu disia-siakannya.

"Tumpuan terhadap aspek kepantasan dan membina otot mula menampakkan hasil tetapi saya masih perlu gandakan latihan dan lebih berdisiplin jika ingin bersaing di peringkat yang lebih tinggi.

"Selepas dilanda kecederaan yang agak lama, saya perlu segera tingkatkan prestasi.

"Jadi saya mahu mara ke peringkat suku akhir ataupun separuh akhir ketika bersaing di Eropah kelak."