Terbuka Singapura: Soon Huat-Shevon padam badi untuk ke separuh akhir

Shaiful Shamsudin
Julai 15, 2022 11:26 MYT
Beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, menamatkan badi kekalahan lima pertemuan dengan Tang Chun Man-Tse Ying Suet dari Hong Kong hari ini untuk ke separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura.
Soon Huat-Shevon tidak gementar apabila mengasak sejak pertarungan di Stadium Tertutup Singapura bermula tetapi ketika kedudukan terikat 7-7, pencabar mereka mula mengatur langkah hingga berkelebihan enam mata di depan untuk kedudukan 16-10.
Beregu profesional negara selaku pilihan kelapan itu tidak mudah mengalah apabila memperbaiki permainan mereka dan sedikit demi sedikit bangkit mengikat mata kedudukan 20-20, seterusnya menang 22-20.
Namun, lawan pula merampas set kedua 21-16 untuk dan kekuatan mental juara Terbuka Singapura 2018 itu sekali lagi diuji apabila mereka dipaksa bekerja keras untuk merapatkan mata hingga kedudukan menjadi 18-18.
Situasi itu mendorong lawan melakukan kesilapan mudah sekali gus memberikan Soon Huat-Shevon kemenangan 21-18.
Sementara itu, wakil perseorangan tunggal negara, Ng Tze Yong, gagal mengatasi pilihan keempat kejohanan, Anthony Ginting.
Dalam pertemuan pertama mereka itu, masing-masing tampil dengan momentum terbaik apabila saling mengejar mata hingga di kedudukan 14-14, tetapi kegopohan Tze Yong nampak sedikit gopoh di penghujung set dan secara tidak langsung membuka ruang buat seteru dari Indonesia tersebut meraih mata mudah sebelum menawan set pertama 21-15.
Semuanya serba tak menjadi buat harapan negara negara itu apabila setiap percubaan mudah dibaca Ginting selain sering terkandas di jaring untuk ketinggalan 8-18 sebelum ginting menoktahkan permainan 21-12.
Gandingan campuran muda negara, Hoo Pang Ron-Toh Ee Wei, pula terperangkap dengan permainan pantas daripanda China, Guo Xin Wa-Zhang Shu Xian, untuk rebah 16-21, 14-21.
#badminton #Terbuka Singapura