Andrey Rublev memerlukan hampir dua jam dan pukulan terus kencang untuk menewaskan Diego Schwartzman dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka San Diego hari ini.

Pemain pilihan utama, Rublev, merekodkan kemenangan 6-1, 7-5 dalam masa sejam 52 minit ke atas lawan dari Argentina itu, yang mempamerkan aksi melawan sepanjang set kedua.

Jaguh Russia di ranking kelima dunia itu seterusnya akan bertemu pemain British, Cameron Norrie, yang mengejutkan pilihan keempat kejohanan, Denis Shapovalov, 6-3, 6-1 dalam satu lagi perlawanan.

Rublev akan turun beraksi dalam aksi separuh akhirnya yang kelapan sepanjang tahun ini dan akan memburu gelaran pertama sejak memenangi Terbuka Rotterdam pada Feburari lalu.

Dia berdepan mata break dalam set kedua selepas memenangi set pertama tetapi Schwartzman gagal memanfaatkan situasi pada lewat permainan itu.

Aksi dalam set kedua itu kelihatan seperti Schwartzman akan mengheret perlawanan berkenaan ke set ketiga selepas mendahului 40-0 dengan servis di tangannya di kedudukan 5-6 sebelum Rublev memenangi lima mata berturut-turut untuk mengesahkan kemenangan.

"Aksi dalam set kedua amat sukar dan menyeronokkan buat penonton untuk menyaksikannya.

"Setiap game amat sukar dengan mata-mata luar biasa dan set itu boleh berkesudahan berbeza," kata Rublev.